Ahad, 14 Oktober 2012

Impian isteri

Menjadi isteri yang solehah adalah impian setiap wanita namun kadangkala tingkah laku kita tidak seperti yang kita impikan. Kita sibuk dengan kerjaya serta anak-anak sehinggakan kita mengabaikan tanggungjawab terhadap suami serta tidak peka dengan perasaan mereka. Kita gagal menjadi pendengar yang setia tika dia memerlukan dan gagal menjadi rakan untuk dikongsi kisah suka dan duka. Kita lupa kita seharusnya menjadi penolong yang setia dan sentiasa memastikan segala urusan  rumahtangga terjaga.

Jumaat, 12 Oktober 2012

CITA-CITA

Setiap insan pasti mempunyai impian dan cita-cita dalam hidup. Ada yang bercita-cita untuk menjadi doktor,guru,peguam dan sebagainya. Bagi merealisasikan cita-cita itu, setiap individu perlu belajar dan berusaha dengan bersungguh-sungguh bak kata pepatah " Kalau tidak pecahkan ruyung manakan dapat sagunya". Justeru, tumpahkanlah seluruh keringat bagi mencapai apa yang diimpi dan dicita-citakan agar kelak hidup anda bahagia di dunia dan di akhirat.

Rabu, 10 Oktober 2012

Al-Quran

Mukjizat terbesar yang dikurniakan oleh Allah kepada nabi Muhammad S.A.W ialah al-Quran. Ia diturunkan secara beransur-ansur selama 23 tahun iaitu 10 tahun di Mekah dan 13 tahun di Madinah. Ia diturunkan dalam Bahasa Arab dan mengandungi 6,666 ayat.Gaya bahasa al-Quran sangat indah dan tiada yang boleh menandinginya. Selain daripada al-Quran ia juga dikenali dengan nama al-Zikr, al-Kalam, al-Fasl dan al-Furqan. Kandungannya lengkap dan menyeluruh iaitu mencakupi segala aspek kehidupan manusia di dunia dan di akhirat. Oleh itu ia menjadi sumber rujukan utama umat Islam dalam pelbagai bidang. Selain itu, bagi setiap huruf yang dibaca diberikan ganjaran pahala oleh Allah S.W.T. Bersyukurlah kita menjadi umat nabi Muhammad S.A.W yang dianugerahkan oleh Allah S.W.T kitab suci  al-Quran.

Jumaat, 5 Oktober 2012

ALAM

Alam terbahagi kepada dua bahagian iaitu alam musyahadah dan alam ghaib. Alam musyahadah ialah alam yang dapat ditanggapi oleh pancaindera dan dapat dijangkau oleh akal manusia manakala alam ghaib pula ialah alam yang tidak dapat dilihat oleh pancaindera dan tidak dapat dijangkau oleh akal manusia. Alam musyahadah yang kita diami ini hanyalah sementara, jadi isikanlah kehidupan kita di alam  ini dengan mentaati segala  perintah Allah dan meninggalkan segala laranganNya agar kita mendapat balasan yang baik di akhirat yang kekal abadi.

Khamis, 4 Oktober 2012

Pewaris Rasul

Umat Islam adalah pewaris sekalian Rasul. Merekalah yang menjadi penjaga dan pengawal agama di atas muka bumi ini. Merekalah yang menjadi pewaris agama Allah. Oleh sebab itu mereka sedar bahawa mereka mempunyai peranan yang besar di atas muka bumi ini sehingga hari kiamat.

Selasa, 2 Oktober 2012

ISLAM SYUMUL DAN PRAKTIKAL

Islam adalah agama yang syumul  meliputi segenap aspek kehidupan. Ianya bersifat waqi'iyyah iaitu praktikal. Segala hukum, peraturan dan ketetapan yang terdapat di dalam ajaran Islam boleh dipraktikkan oleh semua manusia tanpa mengira bangsa dan warna kulit serta tempat dan waktu. Ajaran Islam sesuai diamalkan dari dulu, kini dan selama-lamanya.... rugilah bagi orang menolak Islam kerana "Islam is the way of life"....

Ahad, 30 September 2012

Rama-rama



Rama-rama adalah makhluk istimewa ciptaan Allah. Kitaran hidupnya amat unik iaitu daripada telur menjadi ulat beluncas kemudian menjadi kepompong dan akhirnya barulah menjadi rama-rama. Makananya ialah madu yang terdapat pada bunga-bungaan dan manisan yang terdapat pada buah-buahan.